Perkhidmatan 523 (bas KR Travel & Tours)

Laluan bas 523 merupakan sebuah laluan bas dalam Koridor Sungai Besi (dalam kategori penomboran laluan bas 500-599).[5] 523 merupakan sebuah laluan henti-henti umum yang berkhidmat di antara pusat bandaraya Kuala Lumpur dengan pusat pentadbiran negara Putrajaya dengan melalui beberapa hentian sekitar KTM Serdang, IOI City Mall, Alamanda, Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Persiaran Perdana dan Presint 9. Perkhidmatan laluan bas ini merupakan kaedah alternatif kepada perkhidmatan KLIA Transit dari Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya ke KL Sentral dan sebaliknya serta MRT Laluan Putrajaya (PYL) dari Stesen MRT Putrajaya ke stesen MRT di Kuala Lumpur dan stesen terakhirnya di Kwasa Damansara. Selain itu, laluan bas 523 juga merupakan satu-satunya laluan bas di Lembah Klang yang menyediakan perkhidmatan hentian bas ke IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia dan kedua di dunia. Kebanyakkan penumpang menggunakan laluan bas ini untuk ke pusat beli-belah tersebut kerana tiada laluan bas dari Rapid KL dan bas perantara MRT yang memasuki IOI City Mall buat masa ini.

Terdapat sebanyak 31 hentian bas ke arah Putrajaya dan 27 hentian bas ke arah Hab Lebuh Pudu yang terkandung dalam servis perkhidmatan laluan bas 523. Masa perjalanan keseruluhan laluan bas ini adalah dalam lingkungan 50-70 minit dari Hentian Bas Hab Lebuh Pudu ke hentian bas MRT Putrajaya Sentral.[1] Kekerapan bas laluan ini pula 1 jam pada setiap hari dan bergantung kepada keadaan lalu lintas semasa.[1] Mod pembayaran ialah tunai sahaja iaitu kadar tambang penuh dari Kuala Lumpur ke Putrajaya ialah RM3.10, manakala tambang dari KTM Serdang ke Putrajaya ialah RM1.90 dan tambang zon dalam Putrajaya (termasuk ke IOI City Mall) ialah RM1.10.